Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang suami yang soleh dan bertanggungjawab akan menjadikan Islam sebagai asas dalam kehidupan untuk dirinya, isteri dan anak-anak . Dia akan memastikan semua ahli keluarganya sentiasa mentaati Allah S.W.T. dan menjauhi larangan-Nya.
Membina sebuah rumahtangga yang dihiasi dengan ibadah adalah suasana yang harmonis hanya dapat dibentuk dengan bimbingan taufik dan hidayah dari Allah S.W.T. Oleh itu salah satu faktor utama dalam pembinaan keluarga bahagia adalah membentuk sebuah rumahtangga yang senantiasa dihiasi dengan amal ibadah yang soleh dan penuh dengan keimanan serta ketakwaan.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan."(Surah al-Nahl ayat 97)
Oleh itu para suami hendaklah senantiasa menganjurkan para isteri untuk beribadah bersama seperti mengerjakan solat tahajud, berpuasa sunat, bertadarus (membaca) serta mentadabbur (memahami) al-Quran dan belajar tentang hal-hal keagamaan yang boleh meningkatkan keimanan dan ketakwaan. Rasulullah S.A.W. senantiasa menganjurkan para isterinya agar mengerjakan ibadah sesuai dengan perintah Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa. (Surah Taha ayat 132)
Telah diriwayatkan dari `Aisyah radhiallahu 'anha, dia berkata: "Rasulullah biasa mengerjakan solat malam (tahajud), sementara aku tidur melintang di hadapan baginda. Bila hendak mengerjakan solat witir, baginda akan membangunkanku".(Hadis Riwayat Bukhari)
Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda maksudnya : " Semoga Allah merahmati seorang suami yang bangun pada malam hari untuk mengerjakan solat malam, lalu membangunkan isterinya untuk solat bersama. Bila si isteri enggan (tidak mampu untuk bangun), beliau memercikkan air ke wajah isterinya (supaya bangun). Semoga Allah merahmati seorang isterinya yang bangun malam hari untuk mengerjakan solat malam, lalu membangunkan suaminya untuk solat bersama. Bila si suami enggan, dia memercikkan air ke wajah suaminya." (Hadis Riwayat Abu Dawud)
Oleh itu sewajarnya para suami menghidupkan rumah mereka dengan pelbagai amal ibadah yang sesuai dengan sunnah Nabi S.A.W. Disamping itu hendaklah para suami isteri berusaha untuk saling memperingatkan di antara satu sama lain untuk bersama-sama melaksanakan segala perintah Allah S.W.T. sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah dan meninggalkan segala laranganNya.
Hendaklah mereka berganding bahu dalam menegakkan kebenaran di dalam rumahtangga mereka, berusaha membentuk suasana yang Islamik yang di dalamnya penuh dengan kasih sayang dan kecintaan dan suasana yang tenteram. Saranan ini sesuai dengan firman Allah S.W.T. maksudnya : " Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras dan tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka yang selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."(Surah al-Tahrim ayat 6)
Sahabt yang dimuliakan,
Hendaklah suami sentiasa menunjukkan wajah yang ceria kepada isteri dan anak-anaknya dirumah. Raut wajah seseorang boleh menggambar pelbagai makna dan ianya boleh mempengaruhi suasana hubungan suami isteri. Wajah yang ceria tentu sekali akan menenangkan jiwa isteri. Janganlah masalah di tempat kerja di bawa pulang ke rumah sehingga menunjukkan air muka yang merengut. Apatahlagi telah sabit perintah dari Nabi S.A.W. agar kita sentiasa mempamerkan wajah yang ceria sebagaimana sabdanya yang bermaksud : " Sedikit pun janganlah engkau menganggap remeh perbuatan baik, meskipun ketika berjumpa dengan saudaramu engkau menampakkan wajah ceria. (Hadis Riwayat Muslim)
Lanjutan dari hadis di atas tentu sekali yang paling utama bagi suami adalah untuk menunjukkan wajah cerianya kepada isteri tercinta.
Satu lagi perkara yang perlu di ambil perhatian suami bahawa dia hendaklah menjaga penampilan dirinya, disamping mempamerkan wajah yang ceria. Para suami juga hendaklah menjaga penampilan diri agar sentiasa kelihatan menarik dan bersih. Ini adalah penting demi untuk menimbulkan keselesaan dalam hubungan suami isteri. Sesungguhnya isteri juga ingin melihat pasangannya yang memiliki penampilan yang menarik sebagaimana suami inginkan isteri yang anggun lagi bergaya disisinya. Firman Allah S.W.T. maksudnya : " Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak)… (Surah al-Baqarah ayat 228)
Ibnu Abbas radhiallahu 'anh berkata: "Sesungguhnya aku senang berhias untuk isteriku sebagaimana aku senangi isteriku berhias untukku."
Tambahan pula Allah 'Azza wa Jalla menyukai keindahan termasuklah penampilan diri yang menarik serta sesuai dengan lunas-lunas syarak sebagaimana sabda Nabi S.A.W. yang maksudnya : " Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan menyukai keindahan". (Hadis Riwayat Muslim)
Para suami yang soleh sentiasa berusaha untuk kelihatan bergaya sehingga sedap mata isteri memandangnya ketika dirumah bukan hanya bergaya ketika hendak pergi ketempat kerja atau datang ke majlis jamuan dan kenduri kendara.
Suami yang berakhlak mulia dan lemah lembut adalah seorang suami yang sentiasa sabar dengan kerenah isterinya. Sentiasa berusaha untuk menjaga keharmonian rumah tangga dan tidak suka kepada pertengkaran dan perselisihan faham sesama suami isteri.
Perempuan memang terkenal dengan sikap mereka yang emosional dan suka ikut perasaan. Namun begitu para suami harus sabar ketika berhadapan dengan kerenah sedemikian rupa. Hendaklah para suami berhadapan dengan situasi sebegini dengan penuh kesabaran dan hikmah.
Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : " Nasihatilah wanita dengan baik. Sesungguhnya mereka diciptakan dari tulang rusuk dan bahagian terbengkok dari tulang rusuk adalah bahagian atasnya. Seandainya kamu luruskan maka berarti kamu mematahkannya dan seandainya kamu biarkan maka ia akan terus sahaja bengkok. Untuk itu nasihatilah wanita dengan baik. (Hadis Riwayat Bukhari)
Hadis ini menganjurkan para suami untuk menasihati para isteri dengan cara yang penuh hikmah dan lemah lembut. Jangan sesekali terburu-buru menggunakan kekerasan kerana ianya bukan sahaja tidak akan menyelesaikan permasalahan malah akan memburukkan lagi keadaan. Oleh itu para suami haruslah bijak mencari masa yang paling baik untuk menasihati isterinya. Sekiranya keadaan tidak mengizinkan seperti ketika kemarahan isteri masih meluap-luap maka sebaiknya ditangguh dahulu penjelasan atau menasihatinya sehingga keadaan menjadi tenang dan tenteram.
Sekiranya wujud di dalam isteri masing-masing sifat-sifat yang kurang kita senangi maka handaklah kita mencari sifat serta tabiat isteri yang positif untuk menghiburkan diri kita dan mengelakkan timbul perasaan benci terhadap isteri. Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Apabila dia membenci sebahagian akhlaknya maka mungkin dia boleh meredai akhlaknya yang lain." (Hadis Riwayat Muslim)
Sekiranya terdapat perbuatan isteri yang memerlukan para suami untuk meluruskannya maka hendaklah ianya dilakukan secara bertahap-tahap dan tidak terburu-buru untuk berkeras terhadapnya. Firman Allah S.W.T. maksudnya : " Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar." (Surah al-Nisaa' ayat 34)
Jika suami telah melihat tanda-tanda kedurhakaan pada isterinya, hendaklah dia menasihatinya dengan mengingatkannya tentang hukuman Allah terhadap tingkahlakunya itu. Sekiranya setelah menasihatinya dan dia masih tidak berubah maka suami berhak memisahkan tempat tidur dan tidak menggaulinya (Hajr). Apabila hajr juga gagal untuk menyedarkan isteri atas kesilapannya maka suami boleh memukul isteri sekadar menyedarkannya bukan dipukul hingga mendatangkan kecederaan atau menyakitkan seperti dengan menggunakan kayu siwak (kayu yang digunakan untuk memberus gigi) atau sejenisnya. Inilah tatacara yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. untuk menangani sikap-sikap yang negatif yang mungkin wujud pada para isteri. Jika pukulan ini pun tidak boleh menyedarkannya maka perlulah dirujuk kepada keluarga pihak isteri untuk memainkan peranan sebagai orang tengah dan menasihati isterinya.
Satu lagi kewajipan suami adalah dia perlu untuk menyediakan rumah untuk isteri sekadar kemampuannya. Menyediakan tempat perlindungan untuk isteri dan anak-anak merupakan kewajipan seorang suami. Ianya amat penting dalam membentuk sebuah keluarga yang harmonis kerana rumah adalah tempat sepasang suami isteri memainkan peranan masing-masing dan membesarkan serta mendidik anak-anak. Dalil kewajipan menyediakan rumah adalah sebagaimana firman Allah S.W.T. maksudnya : " Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu… "(Surah al-Talaaq ayat 6)
Walaupun ayat di atas merujuk kepada isteri yang telah dicerai dalam tempoh idah namun ini hanya menguatkan lagi pandangan bahawa isteri yang masih dalam status pernikahan lebih berhak untuk mendapatkan tempat tinggal. Tentang saiz serta reka bentuk rumah maka ianya menurut kemampuan para suami.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Kebahagiaan bagi anak Adam ada tiga. Dan kesengsaraan terhadap anak Adam ada tiga. Maka di antara yang membahagiakan adalah isteri yang solehah, kenderaan yang baik serta rumah yang lapang. Dan kesengsaraan bagi anak Adam ada tiga iaitu tempat yang tidak baik dan isteri yang tidak baik serta kenderaan yang tidak baik."
Firman Allah S.W.T. maksudnya : " Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. (Surah al-Baqarah ayat 233)
Bagi suami yang memiliki sedikit harta maka dapatkanlah rumah bersaiz kecil yang sesuai dengan kemampuannya itu dan sekiranya di masa hadapan harta semakin bertambah banyak, ketika itu usahakan untuk mendapatkan rumah yang lebih besar dan selesa.
Seorang isteri juga berhak untuk mendapatkan rumah yang khusus bagi dirinya tanpa berkongsi dengan madu-madunya (jika suaminya berpoligami) mahupun ahli keluarga yang lain. Isteri berhak untuk menolak permintaan suami untuk tinggal bersama madu-madunya ataupun ahli keluarga yang lain dan suami wajib memenuhi tuntutan tersebut. Penolakan isteri itu menunjukkan kemungkinan dia merasa tidak selesa dengan situasi tersebut ataupun mungkin ada perkara-perkara yang boleh menyebabkan suasana yang tegang dalam rumahtangga sekiranya duduk bersama dengan pihak lain.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita menghayati ciri-ciri suami yang soleh dan mampu memainkan peranan sebagai ketua keluarga mendidik dan memberi segala keperluan asasi untuk isterinya, yang mana hak ini terlah termaktub di dalam al-Quran dan hadis-hadis Nabi S.A.W.
Inilah beberapa peranan suami menurut al-Quran serta sunnah Nabi S.A.W. yang dapat membantu membina sebuah keluarga yang harmonis. Semoga ianya dapat dijadikan pedoman bagi sekalian pemimpin keluarga untuk membahagiakan para isteri.
Contohilah sunnah Nabi S.A.W. kerana pada diri baginda terdapat contoh tauladan yang terbaik. Firman Alah S.W.T. maksudnya : " Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan(keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Surah al-Ahzaab ayat 21)
Imam Sufyan bin `Uyainah rahimahullah berkata: "Sesungguhnya Rasulullah adalah timbangan yang paling besar. Segala sesuatu harus diukur dengan akhlak, perilaku dan petunjuknya. Yang sesuai dengannya, maka itu benar dan yang tidak sesuai dengannya maka itu bererti batil."
No comments:
Post a Comment