Di dalam kehidupan kita mencari keredhaan Allah s.w.t., kita perlulah memperhambakan diri kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Perhambaan ini perlu berlaku dengan amalan zahir dan amalan batin (hati). Amalan batin (pembersihan hati dan jiwa) amat penting sekali daripada amalan zahir kerana apabila dalaman seseorang telah bersih maka ia akan melahirkan amalan luaran yang bersih pula. Tetapi apabila amalan zahir nampak hebat dan banyak sedangkan batinnya kotor dengan perasaan ujub dan riak maka amalan zahirnya tidak ada nilai disisi Allah s.w.t.
Sahabat yang dimuliakan,
Apabila tubuh badan memerlukan latihan supaya segar dan sihat, maka hati kita juga perlu dilatih dan dididik supaya ia menjadi sihat dan khusyu'. Hati yang khusyu' amat diperlukan dalam ibadah dan seterusnya dalam kehidupan. Hati yang hidup dan sihat adalah hati yang apabila disebut nama Allah s.w.t. terasa gementar dan apabila dibacakan al-Qur'an bertambah Imannya. Hati seperti ini akan bersih dari keduniaan dan akan lahirkan keikhlasan kepada Allah s.w.t. dalam setiap tindak-tanduk perbuatannya. Manusia melihat zahir kita sedangkan Allah melihat hati kita. Untuk memiliki hati yang khusyu' ia perlu dilembutkan dahulu dan disinilah lahirnya pelbagai cara dalam melahirkan jiwa yang khusyu'.
Sahabat yang dihormati,
Terdapat beberapa amalan yang yang diambil daripada al-Qur'an dan As-Sunnah dan ulama-ulama muktabar untuk melahirkan hati yang bersih dan khusyu' adalah seperti berikut :
1. Tafakur dan muhasabah ;
Kita hendaklah sentiasa merenung kehidupan kita, bermuhasabah tentang hubungan hati kita dengan Allah s.w.t. Fikirkan betapa banyaknya dosa-dosa yang telah kita lakukan, tugas dan amanah yang telah kita tinggalkan dan betapa kurangnya amal soleh kita dan rasa tidak mampu nak berhadapan dengan Allah s.w.t. di hari Akhirat nanti. Sayyidina Umar setiap malam bertafakur dan bermuhasabah dan mengenangkan akan dosa-dosanya.
2.Beristighfar ;
Rasulullah s.a.w beristighfar sebanyak 70 kali sehari semalam. Walaupun baginda bersifat maksum dan telah diampunkan dosanya oleh Allah s.w.t yang kemudian dan yang akan datang, baginda tetap memohon ampun kepada Allah s.w.t. tanda bersyukur baginda kepada-Nya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Tiadalah Tuhan akan menyiksa mereka, sedangkan engkau berada diantara mereka, dan tiadalah Tuhan hendak menyiksa mereka selama mereka beristigfar."(Surah al-Anfal ayat 33)
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Dan mohonlah keampunan kepada Tuhan kamu dan kembalilah kepada-Nya nescaya Dia akan mengurniakan pemberian yang baik kepada kamu hingga ke waktu yang ditentukan."(Surah Hud ayat 3)
3.Berselawat kepada Nabi s.a.w ;
Sesiapa yang banyak berselawat keatas junjungan Nabi s.a.w akan mendapat syafaat dihari Akhirat nanti ketika itu tiada siapa yang dapat membantunya. Berselawat juga dapat melahirkan kecintaan kepada baginda dan ahli keluarganya.
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Barangsiapa yang berselawat kepadaku sekali, nescaya Allah akan membalasnya dengan selawat keatasnya sepuluh kali."
Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi, wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah ke atasnya dan mengucap salamlah kepadanya dengan sepenuh salam (kehormatan).
4.Mengingati mati ;
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Perbanyakkan mengingati mati, kerana yang demikian itu akan mengurangkan seseorang itu melakukan dosa dan zuhud pada dunia."
Imam al-Ghazali mengatakan, "Dengan meningati mati, hati kamu menjadi lembut."
5.Berzikir dalam hati ;
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Sebaik-baik zikir ialah yang dirahsiakan (dalam hati) dan sebaik-baik rezeki ialah yang mencukupi."
Dalam hadis yang lain baginda bersabda yang bermaksud, "Bagi segala sesuatu ada penggosok untuk membersihkan dan menghilangkan kekotorannya. Maka begitulah penggosok (pembersih) hati ialah zikrullah."
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Berzikirlah kepada Tuhanmu dalam hatimu dengan rendah hati dan perasaan takut."
Sebahagian ulama tasauf mengatakan zikir yang dimaksudkan di dalam hadis di atas ialah zikir qalbi (zikir dalam hati) bukan zikir lisan. Dengan mengerjakan zikir qalbi itu seseorang manusia terhubung dengan Allah s.w.t. selama-lamanya. Oleh kerana hati adalah 'raja' kepada anggota-anggota badan yang lain, dalam melakukan ibadah, jika hati sentiasa berhubung dengan Allah, maka anggota-anggota lainnya dengan sendirinya akan berhubung denganNya. Contohnya dalam keadaan kita berseorangan atau dalam kenderaan daripada fikiran kita berhayal dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah eloklah kita zikir dalam hati dengan menyebut Allah, Allah... berulang-ulang.
6.Zikir secara jihar (lisan) ;
Sayyidina Umar al-Khattab pernah ditanya mengapa beliau cenderung untuk berzikir jihar, beliau menjawab ; "Aku melakukan demikian untuk menyedarkan orang-orang yang lalai dan supaya syaitan-syaitan akan menjauhkan diri daripada sisiku."
Imam al-Ghazali amat menekan zikir jihar beramai-ramai kerana ia mempercepatkan keasyikan hati dan berlakunya tolong menolong antara satu sama lain dalam meningati Allah s.w.t.
Salah satu amalan zikir yang baik di amalkan setiap pagi dan petang adalah zikir al-Mathurat (Kitab zikir oleh al-Imam Hasan Al-Banna).
7.Berdo'a kepada Allah s.w.t. :
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Dan Tuhan kamu berfirman : 'Mohonlah kepada-Ku nescaya Aku akan memperkenankan permohonan kamu."(Surah al-Mukminin ayat 180)
Perbanyakkanlah berdo'a kepada Allah s.w.t. setiap masa. Selepas solat fardu, selepas membaca al-Qur'an, selepas solat tahajud di tengah malam dan di tempat-tempat yang afdhal do'a, kerana dengan banyaknya do'a hati akan menjadi bersih, lembut dan sejahtera.
Akhirkata, teruskanlah tarbiyyah hati supaya hati yang bersih dan sejahtera akan membawa kepada hubungan yang akrab dengan Allah s.w.t. dan juga membawa kepada kesejahteraan hidup di dunia dan di hari Akhirat.
No comments:
Post a Comment