CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

AMARAN KERAS!!! BACA sebelum scroll ke bawah

Aku tak minta apatah memaksa sesiapa untuk membaca tulisan dan coretan di blog aku ini. Segala yang tertulis dan tercoret adalah dari aku kepada aku juga untuk aku. Kalian bebas untuk menafsirkan setiap tulisan dan coretan itu tapi ketahuilah bahawa hanya aku yang mengerti hakikat sebenar di balik semuanya. Jangan mengatakan yang bukan-bukan di belakangku kerana aku tidak akan memaafkan perkara-perkara yang kalian katakan apatah lagi kiranya ia tidak benar. Andai mahu ketahui kebenaran, ayuh bertanya sendiri pada pemilik blog ini iaitu AKU. Juga AMARAN keras, tidak perlulah kalian menyinggah di blog ini sekiranya hanya ingin mengambil tahu hal diriku, mengintip-ngintip perjalanan hidupku demi untuk melihat aku jatuh dan bertujuan menjatuhkan aku. Kerana aku tetap aku yang menjadi aku dan kekal sebagai aku. Segala sesuatu adalah dari DIA MAHA KUASA, aku redha. Jika ternyata blog ini tidak memberi apa-apa faedah pada kalian, baik kiranya kalian melarikan tetikus ke button X (cancel) di atas sebelah kanan dan tekan button tersebut. Dengan itu kalian akan terpisah dari dunia coretanku. Maka ingin aku ucapkan SELAMAT TINGGAL dan tak lupa TERIMA KASIH kerana sudi mengunjunginya walaupun seketika.

Followers

12 April 2011

AD-DIN AN-NASIHAH (Agama Itu Nasihat)

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,


Sesungguhnya memberikan nasihat kepada kaum muslimin samada berupa bimbingan kepada kebenaran yang nyata atau pun peringatan dari kebatilan dan para pelakunya, termasuk sebahagian dari agama.


Rasulullah saw bersabda :

"Agama adalah nasihat", para sahabat bertanya: "Untuk siapa?". Rasulullah saw. bersabda: "Untuk Allah, KitabNya, RasulNya, para pemimpin kaum muslimin, dan kaum muslimin secara umum". (HR Bukhari, Muslim dan ahli hadits lainnya)

Al-Khaththabi berkata :

"Nasihat adalah sebuah perkataan yang bersifat merangkumi dan menghimpun banyak erti, maknanya adalah: mendatangkan kebaikan kepada pihak yang dinasihati".


Tidak diragukan lagi bahwa manusia berpotensi untuk berbuat salah dan cenderung menyimpang dari ‘Al-Haq’ (kebenaran).

Disebutkan dalam sebuah hadits :

"Semua anak keturunan adam berbuat salah, dan sebaik-baik mereka yang berbuat salah adalah yang paling banyak bertaubat". (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah)


Termasuk hak seorang muslim atas muslim lainnya adalah hendaklah ia menunjukkan kepada saudaranya tentang aib dan kesalahannya, dan hendaklah ia menasihatinya dalam perkara dan urusannya tetapi, nasihat itu hendaklah dilakukan dengan lembut dan hikmah.

Hendaklah seorang muslim berhati-hati, jangan sampai menghina saudaranya dan menuduhnya hanya berdasarkan kepada sekadar persangkaan semata-mata kerana persangkaan itu adalah seburuk-buruk perbicaraan, dan cukuplah hal ini sebagai kejahatan.


Rasulullah saw bersabda :

"Cukuplah seseorang itu menjadi jahat ketika ia menghina saudaranya yang muslim" (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Jika kita ada mendengar seorang muslim tentang saudara muslim lainnya sesuatu yang tidak disukai, jangan segera membenarkan perkataan tentang saudaranya itu. Justeru kewajibannya adalah untuk melakukan "tatsabbut" (pengesahan) sehingga dirinya mendapatkan keyakinan tentangnya kerana kebanyakan manusia telah terbiasa menyebarluaskan keburukan secara batil dan ramai pula manusia yang"su’udzan" (buruk sangka) nya lebih cepat daripada "husnuzhan" (berbaik sangka) nya.


Oleh kerana itu :

  1. Jangan membenarkan setiap perkataan, walaupun dirinya mendengarnya berulang kali sehingga dirinya mendengarnya dari yang menyaksikan secara langsung.
  2. Jangan membenarkan orang yang menyaksikannya secara langsung sehingga dirinya memastikan kebenaran atas apa yang disaksikannya.
  3. Jangan membenarkan orang yang telah membuktikan kesaksiannya sehingga dirinya memastikan kebersihannya dari pengaruh hawa nafsu.

Untuk inilah Allah swt memerintahkan kepada kita untuk menjauhi banyak persangkaan dan memandang sebahagian persangkaan itu sebagai dosa kerana "zhan" itu bertentangan dengan ilmu dan ia tidak memberi erti apa-apa terhadap kebenaran.


Allah swt. Berfirman :

"Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain". (QS Al-Hujuraat: 12).


Firman Allah lagi :

"Dan mereka tidak mempunyai sesuatu pengetahuan pun tentang itu. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan, sedang sesungguhnya persangkaan itu tiada berfaedah sedikit pun terhadap kebenaran". (QS An-Najm: 28)



Jika seseorang melihat suatu urusan atau sampai kepadanya tentang saudaranya suatu perkataan yang memiliki dua kemungkinan maknanya, maka, bawalah maksud perkataannya itu kepada maksud yang baik, kerana yang demikian ini :

  1. Lebih sesuai dengan akhlak mulia.
  2. Lebih mencerminkan ukhuwah yang bersih.

Umar bin Al-Khaththab ra meriwayatkan :

"Janganlah kamu menyangka satu perkataan yang keluar dari saudara mukmin mu kecuali kebaikan, sedangkan engkau mendapati kemungkinan maksud yang baik dari perkataannya" . (HR Ahmad)


Puteri dari Abdullah bin Muthi' berkata kepada suaminya Thalhah bin Abdul Rahman bin Auf ra. Di zamannya, Thalhah adalah orang Quraisy yang paling dermawan.

Isterinya berkata: "Saya tidak melihat satu kaum yang lebih buruk dari saudara-saudaramu! ".

Thalhah berkata kepada isterinya: "hush hush! Kenapa demikian?".

Isterinya menjawab: "Saya melihat mereka, kalau kamu sedang memiliki wang, mereka terus dekat kepadamu, dan jika kamu sedang tidak mempunyai apa-apa, mereka meninggalkanmu".

Maka Thalhah berkata kepada isterinya:"Ini, demi Allah, adalah bukti bahwa mereka berakhlak mulia kerana :

  1. Mereka datang kepada kita saat kita mampu memuliakan mereka.
  2. Mereka meninggalkan kita saat kita tidak mampu memenuhi hak-hak mereka".

Cuba kita lihat, bagaimana Thalhah menta'wilkan perbuatan saudara-saudaranya terhadapnya, padahal perbuatan itu jelas buruk dan tidak kenal budi, namun demikian, ia memandangnya sebagai bentuk kesetiaan dan kemuliaan.

Jika seorang muslim melihat saudara muslim lainnya melakukan kesalahan yang tidak dapat diterima alasannya atau tidak dapat ditafsirkan selainnya, maka menjadi kewajibannya untuk datang kepadanya bagi memberi nasihat secara rahsia, antara dirinya dan saudaranya saja, bukan di depan khalayak ramai sebab manusia tidak ingin aibnya diketahui oleh sesiapa pun.

Jika dirinya menasihati saudaranya secara rahsia, maka hal ini :

  1. Lebih berpeluang untuk diterima.
  2. Lebih menunjukkan keikhlasan.
  3. Jauh dari syubhat.


Adapun jika dirinya menasihati saudaranya secara terbuka, di depan orang ramai, maka pada yang demikian itu :

  1. Terdapat syubhat dendam.
  2. Wujud unsur keburukan.
  3. Seakan menonjolkan sisi kelebihan diri dan ilmu yang dimilikinya.


Oleh yang demikian, perkara itu merupakan penghalang yang boleh mencegah pihak yang dinasihati untuk mendengarkan nasihat serta mengambil pelajaran darinya.

Di antara akhlak Nabi saw dan adabnya dalam mengingkari kemunkaran dan memperjelaskan kebenaran adalah bahwa jika sampai kepada beliau tentang satu atau sekelompok orang yang melakukan kemunkaran, maka beliau tidak menyebutkan nama mereka secara terbuka, beliau hanya bersabda: "Kenapa ada orang yang berbuat begini dan begini", lalu orang yang dimaksud memahami bahwa dia lah yang dimaksudkan oleh nasihat itu. Dan hal ini termasuk cara memberi nasihat dan cara mentarbiyah yang paling tinggi.


Imam Syafi'i berkata :

"Siapa yang memberi ‘mauizhah’ (peringatan) kepada saudaranya secara rahsia, maka ia telah menasihati dan memperbaikinya, dan siapa yang memberi ‘mauizhah’ (peringatan) secara terbuka, bererti ia telah membuka aibnya dan memperburukkannya"


Jadi, seorang mukmin yang memberi nasihat, ia tidak mempunyai tujuan untuk menghebohkan aib orang yang dinasihatinya.

Tujuannya tidak lain melainkan untuk menghilangkan kemaksiatan yang saudaranya terjatuh kepadanya, kerana ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri.

Adapun menyiarkan dan menampakkan aib, maka perkara ini termasuk yang diharamkan oleh Allah swt dan RasulNya saw.


Allah swt berfirman :

"Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui". (QS An-Nur : 19). Jadi, ada perbezaan antara :

  1. Orang yang bertujuan untuk menasihati.
  2. Orang yang bertujuan membuka aib.


Yang mencampur adukkan di antara keduanya hanyalah orang yang tidak berakal sihat.

Hukuman bagi orang yang menyebar luaskan keburukan terhadap saudaranya yang beriman dan terus menerus mencari keaibannya serta membuka auratnya adalah Allah swt akan mencari-cari auratnya, lalu membukanya di khalayak umum walaupun setelah beberapa tempoh lamanya kecuali jika ia bertaubat.

Di antara petanda "ta'yir" (mencacatkan) dan "tasyhir" (mempopulerkan keaiban) adalah :

Menampakkan dan menyiarkan keburukan dalam untaian nasihat.

Ia membuat akuan bahwa yang mendorongnya berbuat begitu adalah "tahdzir" (memberi

peringatan) atas ucapan dan perbuatannya, dan Allah mengetahui bahwa maksudnya adalah "tahqir" (merendahkan) dan"adza"(menyakiti).


Contoh dalam perkara ini adalah seseorang mencela orang lain dan menunjukkan kekurangannya serta menampakkan aibnya supaya manusia lari darinya, namun maksudnya adalah keinginannya untuk menyakitinya kerana permusuhan dirinya terhadapnya atau kerana sebab-sebab tercela lainnya kerana dirinya tidak mampu mencapai tujuan ini kecuali dengan menampakkan celaan kepadanya samada kerana adanya sebab "deen" (agama) ataupun "duniawi” (dunia).


Maka, sesiapa yang melakukan perbuatan demikian, ini merupakan petanda adanya penyakit dalam hatinya, meskipun perkara ini berlaku dari orang yang bersumpah bahwa tidak ada tujuan lain kecuali kebaikan sedangkan Allah swt menjadi saksi bahwa mereka adalah orang-orang yang berbohong.


Sesiapa sahaja yang terkena bencana perbuatan ini, iaitu ketika ia dihina, dicacatkan, dinampakkan sisi kekurangannya, maka hendaklah ia bertakwa dan bersabar kerana kesudahannya pasti milik mereka yang bertakwa, "Dan perancangan buruk itu tidak menghancurkan kecuali pelakunya" (QS Fathir : 43)


Ketahuilah bahwa sebahagian pemberi nasihat dan pengkritik dalam berbagai majlis dan begitu juga sebahagian penulis di dalam suratkhabar, majalah dan sebagainya terperosok dalam sebahagian kesalahan dan kekeliruan yang menyebabkan renggangnya hubungan, di mana :

  1. "Nashihah" (memberi nasihat tanpa membuka aib) berubah menjadi "fadhihah" (membuka aib).
  2. "Tadzkir" (memberi peringatan) berubah menjadi "tasyhir" (penyiaran keburukan).


Perlu diingat bahwa perkara ini bukanlah sesuatu yang diridhai oleh Islam.


Ibnu Rajab berkata :

“Ketahuilah bahwa menyebut manusia dengan sesuatu yang tidak disukainya adalah haram, jika maksudnya sekadar mencela, mencacatkan dan menampakkan kekurangannya. Adapun jika dalam hal ini terdapat kemaslahatan umum bagi kaum muslimin atau kemaslahatan khusus bagi sebahagian mereka dan maksudnya adalah menghasilkan kemaslahatan ini, maka hal ini tidaklah diharamkan, bahkan disunatkan.”


Hal ini telah ditetapkan oleh para ulama hadits dalam kitab mereka dalam pembahasan "al-jarh wat-ta'dil". Mereka menyebutkan perbezaan antara melakukan "tajrih" terhadap para perawi dan dengan "ghibah".

Mereka membantah orang-orang yang menyamakan di antaranya keduanya, samada yang menyamaratakan itu dari kalangan ahli ibadah mahupun dari kalangan lainnya dari orang-orang yang belum luas ilmunya dan tidak ada perbezaan antara orang yang diterima riwayatnya dari mereka yang yang tidak diterima.

Jika tujuannya adalah untuk memperjelaskan kebenaran, maka hal ini masuk dalam pengertian nasihat dan jika tujuannya adalah untuk menunjukkan kekurangan, menampakkan kebodohan dan kelemahannya dalam ilmu, maka hal ini adalah perbuatan haram, samada bantahan itu dilakukan dihadapan orang yang dibantah atau pun dilakukan di belakangnya, baik dilakukan semasa hidupnya mahupun dilakukan sepeninggalannya dan hal ini dijelaskan dalam hadits nabi saw :

"Wahai orang-orang yang beriman dengan mulutnya, sementara keimanan belum masuk ke dalam hatinya, janganlah kamu melakukan "ghibah" terhadap kaum muslimin, dan jangan pula mencari-cari auratnya, kerana, siapa sahaja yang mencari-cari auratnya, maka Allah swt. akan mencari-cari auratnya, dan siapa yang dicari-cari auratnya oleh Allah swt, niscaya Dia akan membuka buku catatannya walaupun ia berada di dalam rumahnya" (HR. Abu Daud dan lainnya).


Adalah sangat bagus jika seseorang muslim menjadi benteng yang kukuh yang membela dan melindungi harga diri saudara muslimnya dan menjaga citranya, lebih-lebih lagi jika dihadapannya disebutkan keburukan saudaranya sesuatu yang tidak disukainya.


Rasulullah saw bersabda :

"Siapa yang membela harga diri saudaranya yang muslim, niscaya Allah swt menjaga wajahnya dari neraka pada hari kiamat" (HR At-Tirmidzi)


Oleh itu, hendaklah kita semua "tsiqah" terhadap saudara kita dan berhati tenteram kepadanya, dan janganlah kita men-ta'wilkan percakapannya kecuali dengan baik, selama percakapannya itu masih boleh ditafsirkan dengan baik, supaya kita berbahagia dalam urusan agama dan dunia kita dan supaya kita selamat pada hari kiamat, "Iaitu hari di mana harta dan anak laki-laki tidak memberi manfaat, kecuali yang datang kepada Allah swt dengan hati yang selamat". (QS Asy-Syu'ara: 88 – 89)


Kita memohon kepada Allah swt agar Dia menyucikan hati kita dari :

  1. Dengki.
  2. Dendam.
  3. Irihati.


Semoga Dia memberikan kepada kita :

  1. Hati yang selamat.
  2. Mulut yang jujur.
  3. Ilmu yang bermanfaat.
  4. Amal yang soleh.



“Ya Rabb Kami, beri ampunlah Kami dan saudara-saudara Kami yang telah beriman lebih dulu dari Kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati Kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Rabb Kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang." (QS Al-Hasyr : 10)

Ya Allah, jauhkanlah kami dari sikap suka mengintai-ngintai aurat dan kelemahan manusia. Kurniakanlah keikhlasan dalam kami melaksanakan tugas nasihat menasihati dan kami berlindung kepadaMu dari terjatuh ke dalam situasi di mana nasihat bertukar menjadi membuka aib manusia dan pemberian peringatan menjadi penyiaran keburukan.

Ameen Ya Rabbal Alameen



Wan Ahmad Sanadi Wan Ali

Pengerusi JK Tarbiah IKRAM Shah Alam

"UKHUWAH TERAS KEGEMILANGAN"

"IKRAM WADAH PERJUANGAN"


No comments:

S@y@ s@y@ng f@m!ly s@y@

S@y@ s@y@ng f@m!ly s@y@