Kesedaran bertandang tatkala aku meningkat dewasa. Aku benar-benar malu atas segala rasa hina diri sehingga melakukan perkara-perkara yang ditegah dalam agama. Aku bukan si alim ulama mahupun ustazah kerana aku cuma si kerdil yang khilaf dalam melangkah. Lalu kupanjatkan rasa syukur kerana dalam kegagalan langkah dan tersungkur, aku bisa bangun semula menggapai maghfirahMU. Rupanya masih ada KAU yang sayang padaku.
Tidak menidakkan ada ketikanya rasa hina dan tidak berguna tersisa dalam diri, lantas segera aku beristighfar kerana ku tahu ianya adalah sifat terkeji yang harus dijauhi.
"Janganlah kamu takut pada seseorang makhluk tapi takutlah kepada Ku."(Al Maidah: 44). "Janganlah kamu rasa terhina dan sedih padahal kamulah yang tinggi selagi kamu beriman." (Ali Imran: 139)
Agak sulit membuang rasa ini namun aku perlu kuat untuk mencuba kerana rasa ini wajar bila bersandarkan pada DIA bukan pada makhluk. Sama sekali tidak boleh untuk merasa hina dan tidak berguna di sisi manusia kerana kehebatan yang dimilikinya juga hanya pinjaman dan tidak sehebat mana. Itu hanya serpihan pemberian DIA sebagai ujian hidup. Sedang pula di sisi DIA, manusia itu sama saja kecuali mereka yang bertaqwa. Orang bertaqwa lebih mulia daripada orang yang tidak bertaqwa. Siapa yang lebih taqwanya, lebih tinggilah darjatnya di sisi Allah.
"Semulia mulia kamu di sisi Allah ialah mereka yang paling bertaqwa di kalangan kamu." (Al Hujarat: 13)
Berasa hina dan tidak berguna biar keranaNYA kerana ia akan membuatkan kita lebih dekat denganNYA dan berusaha untuk melipat-gandakan amalan berbanding hanya diam memeluk tubuh dan berteleku. Maka, usah dirasakan hina dan kerdil membandingkan diri dengan keilmuaan, pangkat, kekayaan, keturunan dan lain-lain manusia lain.
Lebih hina kita rasakan diri kita di sisi Tuhan, maka lebih tajam dan lebih mendalamlah sifat kehambaan kita dan lebih tinggilah darjat kita di sisi Tuhan. Sebaliknya, lebih mulia kita rasakan diri kita, maka rosaklah sifat kehambaan kita dan hinalah kita di sisi Tuhan.
Hina diri itu ialah amalan hati. Tidak payah disebut-sebut dan tidak payah ditunjuk-tunjuk. Kalau disebut-sebut, takut-takut ianya bukan datang dari hati. Ini sumah namanya. Kalau ditunjuk-tunjuk dan ia bukan datang dari hati, maka ini riyak pula namanya.
Di dalam kita menghina diri, tidak payah kita tunjuk kotor seperti menyapu kotoran atau najis ke tubuh badan kita contohnya. Ini sudah jatuh haram. Ramai orang tunjuk kotor seperti peminta sedekah dan kaki dadah etapi hati-hati mereka penuh dengan ego dan keangkuhan. Mudah sahaja mereka ini menipu manusia dan berbuat maksiat kepada Tuhan.
No comments:
Post a Comment