Begitu pantas masa berlalu, semester 5 akan berakhir. Debaran peperiksaan akhir semakin menghampiri. Qistina bertambah bimbang, terlalu banyak subjek yang belum sempat di ‘cover’. Sedikit sebanyak ada keluhan, tapi kerja-kerja da’wah adalah lebih penting. Kalimah mulia: ’Allah sentiasa membantu umat yang membantu agamaNYA’, itulah yang menenangkan jiwa Qistina. Tapi dia sedar tanpa usaha pasti semuanya akan hancur, tiada bantuan Allah tanpa usaha.
Syawal bakal menjelma, Ramadhan kian melangkah pergi. Qistina sayu tahun ini dia masih tidak berkesempatan untuk merebut Lailatulqadr. Dia akur dengan ketentuanNYA. Moga masih ada Ramadhan untuknya lagi, itulah doanya. Kemeriahan Syawal dinanti tiba, hanya seperti tahun-tahun lalu, pada awal pagi ke masjid tunaikan solat sunat aidilfitri, kemudian ke rumah nenek sebelah abah bertemu sanak saudara. Hidangan nasi dagang menjadi santapan, melepaskan rindu pada makanan tradisional itu. Gembiranya hati Qistina bertemu sanak saudara, keriangan itu meronta-ronta untuk pulang ke kampung ibunya. Pasti lebih meriah. Terlalu gembira dapat berkumpul bersama, gurau senda menjadi santapan. Itulah yang menenangkan hati Qistina, menghilangkan sedikit tekanan kerja dakwah dan gundah menanti peperiksaan akhir.
2 Syawal, rancangan beraya saudara sebelah ibu menuntun Qistina bangun awal. Bersiap-siap, sarapan bersama keluarga.
‘Eh, mesej dari Fiqa! Awalnya bagi mesej’, Qistina membuka mesejnya itu.
‘Qis, ada seorang akh nak kenal, dia tengah mencari pasangan. Dia kawan Harith, umur 23, baru graduasi Ijazah Sarjana Muda Quran&Hadith UKM’, mesej itu sedikit menyentap hati Qistina.
‘Ya Allah, apakah semua ini. Adakah dia ahli jemaah kampus?’ persoalan itu bermain-main di benak Qistina. Hatinya dapat merasakan muslimin itu bukan ahli jemaah Islam kampus.
‘Fiqa dah buat solat istikharah dua kali, memang rasa kuat sangat akh tu untuk Qis. Akh ni segan dengan muslimat, sebab tu dia minta tolong. Namanya Fariz Saufi, orangnya sederhana’, kata-kata Shafiqah buat Qistina terkedu seketika.
‘Betul ke dia untukku? Perlukah aku berkenalan dengannya?’ pelbagai persoalan berlegar di mindanya. ’Ya Allah,berilah petunjuk kepadaku’, rintih Qistina keresahan.
Qistina cuba menghilangkan keresahan, tenang tidak memikirkannya. Keriangan ziarah sanak saudara melupakan Qistina pada keresahan itu. Hari terus merangkak, sekeluarga berehat setelah penat beraya. Hati Qistina resah tiba-tiba, ketidaktenangan itu hadir kembali. Kepalanya sarat dengan pelbagai persoalan, serabut. Lantas dicapainya handset dan mula menaip.
‘Salam, Fiqa. Qis rasa tak tenang sangat. Siapakah akh itu?’ Qistina menanti jawapan dari Shafiqa.
‘Wassalam. Jangan risau Qis. Nanti Fiqa bagi nombor telefon Qis pada akh tu ye. Nanti dia hubungi Qis. Betul Qis, Fiqa rasa akh tu sesuai untuk Qis’, kata-kata Shafiqa mengurangkan sedikit resah Qistina.
‘Syukran Fiqa. Qis percaya dan yakin dengan petunjuk yang DIA bagi pada Fiqa. Doakan Qis ye’, hatinya sedikit tenang. Kerana kesungguhan seorang sahabat untuk membantunya dan istikharah serta harapan Shafiqa membuatkan Qistina terima untuk berkenalan dengan akh itu. Dan juga istikharahnya.
‘Terima kasih Qis percaya pada Fiqa. Fiqa doakan terbaik untuk Qis’, mesej Fiqa menghentikan perbualan antara mereka.
Selesai solat isya’ bersama keluarga, Qis merebahkan kepalanya ke bantal yang empuk. ’Penatnya beraya’, getus Qistina. Qistina mencapai handsetnya, tertera beberapa ‘miscall’ dari nombor yang tidak dikenali. ’Pasti akh tu’, Qis mengagak. Handsetnya berbunyi lagi, nombor itu tertera di paparan. Qistina tidak mengangkatnya. Dia kurang selesa untuk menjawabnya.
‘Assalamualaikum. Maaf ana kurang suka untuk kenal terus melalui perbualan. Cukuplah sekadar sms. Lagipun ana kurang suka untuk berbual dengan muslimin dan ana tidak biasa berbual dengan muslimin. Syukran,’ mesejya sampai pada nombor akh itu. Memang Qistina kurang suka berhubung dengan muslimin terus melalui perbualan dalam telefon.
‘Waalaikumussalam. Ana minta maaf. Ana hanya nak maklumkan ana tak dapat nak hubungi enti malam ni. Jika sempat ana akan mesej enti nanti. Wassalam’, balasan akh itu memutuskan perbualan mereka. Qistina tak kisah sangat akh itu mesej atau tak. Tiada perasaan.
Hari-hari terus berlalu, Qistina sibuk dengan persediaan menjelang peperiksaan akhir. Dalam kesibukan, perkenalan dengan akh Saufi semakin erat. Banyak diperbualkan dan dibincangkan. Bagi Qistina, akh itu memang jelas matlamatnya untuk bersatu dan sepanjang perkenalan, mereka sering menyentuh tentang perancangan untuk masa depan. Dalam sedar, hati Qistina semakin menyenangi akh itu, ada keserasian dan persamaan antara mereka, mungkin. Qistina mula memasang harapan dan angan-angan membentuk sebuah ikatan yang sah. Seketika Qistina dilamun rindu dan cinta. Cinta makhluk, yang kebanyakannya menjanjikan kedukaan dan kesengsaraan.
“Kita sama-samalah berdoa agar ada jodoh antara kita.” mesej akh Saufi sering berbunyi sebegitu. Tenang Qistina membacanya. Percaya dengan bicara itu, hasrat hati akh Saufi bukannya kecil. Qistina mula terbuai dengan cinta ‘anta anti’. Jerat syaitan semakin melebar. ’Duhai hati, janganlah kau begini.Ingatlah pada cinta Ilahi,’ Qistina mengingatkan diri. Beristighfar atas kelekaan.
Fiqa, sahabat penghubung untuk Qistina mengetahui lebih lanjut tentang diri Saufi, begitu juga di pihak Saufi. Dihitungkan, Fiqa lebih rapat dengan Saufi berbanding Qistina sendiri. Semua itu bukanlah menjadi masalah pada Qistina, kerana dia tahu dalam perhubungan perlu ada garis hadnya. Jerat-jerat sang pencucuk, penghasut perlu diputuskan.
Usia perhubungan semakin bertambah. Lebih menyenangi, lebih memahami juga menyayangi. Tiba-tiba keresahan melanda jiwa. Entah mengapa. Rusuh hatinya, buntu fikirannya memutar. Qistina dapat merasainya. Ya, satu perasaan dikecewakan, dipermainkan. Mencucuk-cucuk bak belati tajam menikam dadanya. Seorang lelaki bersama seorang perempuan sedang ketawa gembira ditayang di skrin mindanya. Ya, dia nampak akh Saufi bergembira dengan perempuan lain. Lama Qistina berfikir, dan terus berfikir. Memujuk hati dan minda agar tidak bersangka buruk. Kalimatullah diiringi, menghiasi bibir. Takut, takut termakan hasutan iblis.
“Salam. Asif menganggu. Ana harap perhubungan antara kita berlandaskan kejujuran. Asif, bukan ana ingin su’un dzon, dan tidak sesekali ana menganggap diri enta seperti itu. Tetapi, hati ana mengatakan, enta ada ‘seseorang’ yang lain. Betulkah? Ana sangat mengharapkan jawapan jujur dari enta. Syukran,”akhirnya punat ‘hantar’ ditekan kepada nombor Saufi.
”Waalaikumussalam. Mungkin hati enti bersih, lalu Allah campakkan perasaan itu kepada enti. Apa yang ana mampu katakan, maafkan ana atas kekurangan dan kelemahan diri ana.” Balasan Saufi dibaca berkali-kali. Namun tidak dapat difahami maksudnya. Qistina menanyakan kembali kepada Saufi, apakah matlamatnya untuk berkenalan dengannya? Adakah benar dan jelas matlamatnya untuk membina hubungan suami isteri, ataupun sekadar suka-suka untuk berkawan? Sebelum ini, Saufi menunjukkan hasratnya yang ikhlas untuk ’mengahwininya’. Tetapi, kini seolah berbeza. Qistina ragu-ragu. Prinsipnya, tiada ikatan perhubungan ’rapat’ dengan muslimin, jika bukan bermatlamatkan ikatan pernikahan. Tiada jawapan daripada Saufi. Lama. Pertanyaan Qistina tentang ’matlamat perhubungan’ tetap tidak terjawab.
********************** END PART ONE *********************
Kebisuan Saufi seolah mengiyakan dirinya ada ’seseorang’ yang lain. Sikap menyepi Saufi pamerkan dirinya masih ragu-ragu dengan perhubungan antara mereka. Itu, kesimpulan yang dibentuk Qistina. Hatinya menyimpulkan. Suara jiwa kecilnya mengiyakan. Sukmanya berbisik, ’benar’. ’Benar, Qistina.’
Rutin hidupnya diteruskan. Bersama buku, kerja kursus dan pembentangan, resam seorang mahasiswa. Semester akhir berbaki berdikit merangkak berlalu pergi. Semester terakhir, dia perlu tumpukan lebih kepada pembelajarannya, di samping kerja-kerja da’wah. Kesibukan dan sengaja ’menyibukkan’ diri membuatkan tumpuannya kurang tentang masalah hubungannya dengan Saufi. Dia yang inginkan begitu. Dia yang minta agar tidak berhubung.
”Ana minta kita tidak perlu berhubung buat masa sekarang. Masing-masing ambil masa untuk berfikir dengan kewarasan dan petunjuk iman. Selepas tenang, enta ceritakanlah apa yang telah berlaku sebenarnya.” Sengaja dia minta sebegitu. Tidak mahu kehidupannya terjejas kerana hal ’perasaan’ ini. Satu kerugian bagi seorang muslim. Lebih dambakan cinta yang tidak pasti daripada cita-cita. Cinta sejati itu menyembuhkan, bukan menyakitkan. Cinta Ilahi dan kerana Ilahi. ’Oh, cinta ini menyakitkan.Cinta ini menyeksakan. Ampuni aku ya Rabbi.’
”Bagaimana hubungan kau dengan akh Saufi, Qis? Ada apa-apa yang menarik ke untuk dikongsi? Manalah tahu, sudah merancang untuk kahwin selepas graduasi nanti. Macam mana? Qis suka dia?” banyak betul soalan Shafiqah.
Qistina senyum nipis. Tampak manis, luarannya. Dalamnya, hanya Tuhan sahaja yang tahu. ”Alhamdulillah. Kami agak serasi,” ringkas jawapan Qistina.
” Akh Saufi pernah tanya Qis tentang Fiqa dengan Harith. Serius atau tak,”Qistina mengalih topik.
”Betul ke? Qia jawab apa?”
”Qis jawab tak pasti. Minta dia tanya Fiqa sendiri kalau nak tahu. Takut Fiqa marah Qis cakap tentang hal peribadi Fiqa pada Saufi.”
”Owh, dia pernah tanya Fiqa dulu.” Suasana sepi seketika. Malaikat lalu, kata orang-orang tua. Masing-masing larut dalam dunia sendiri. Rusuh hati Qistina bertambah hebat dengan kata-kata Fiqa. Tidak pasti apa di hatinya. Dia tahu, Saufi dan Fiqa sering berhubung. Walaupun baru berkenalan, sama sepertinya. Hatinya melonjak untuk bertanyakan tentang keadaan Saufi. Tetapi, dimatikan hasrat itu. Biarlah, biarlah begini dahulu. ’Fiqa, Saufi,’ Qistina tidak tenang.’Bagaimana Harith?’ satu suara dari arah lain kedengaran.’Astaghfirullahal’azim’, hati Qistina menangis. Sungguh, dia telah lalai dan hanyut.
Sukmanya melonjak-lonjak ingin tahu. Tahu tentang cerita di sebalik tindakan Saufi. Tentang hakikat kebenaran atas apa yang berlaku. Qistina cuba memujuk hati, sabar, sabar. Jangan bertindak melulu. Dia ingin bertanyakan hal sebenar kepada Saufi. Dia perlu tahu, agar dia tidak lagi berteka-teki. Berfikir yang tidak sepatutnya. Bermain-main dengan prasangka. Wudhu’ diambil, sucikan diri. Tenangkan hati. Solat sunat taubat ditunaikan. Diteruskan dengan solat sunat istikharah. Waktu masih pagi, jarum pendek mencecah angka 10. 10 pagi. Doanya panjang. Meminta diberi petunjuk samada perlu dia bertanya pada waktu sekarang, ataupun perlu menunggu masa yang lebih lama sebelum berbincang. Usai solat, Qistina membaca surah Yassin, hati al-Quran. Tiba pada bacaan ayat 77, diulanginya 7x. Ketenangan yang amat menerobosi sukmanya. Petunjuk diminta dikurniakan dengan sebuah ketenangan dan kedamaian. Dia pasti jawapan untuk tindakan yang perlu diambil.
”Maafkan ana. Sebenarnya ana telah berkenalan dengan seorang muslimat. Ana kenalinya sebelum ana kenal dengan enti. Ana fikir lama, apa yang patut ana buat. Muslimat ini sangat mengharapkan pada ana. Dia ini tidak seperti enti. Enti seorang yang hebat dalam perjuangan dan da’wah. Pada ana, dia perlukan ana untuk membawanya mengenal erti perjuangan Islam. Keluarganya bukan seperti enti, perjuangan enti. Keluarganya menentang perjuangan kita. Ana ingin selamatkan dia. Ana kira, enti boleh teruskan perjuangan ini tanpa ana. Enti seorang yang kuat dan hebat. Maafkan ana, ana harap enti memahami,”jawapan Saufi kembali meragut ketenangan Qistina. Hatinya bagai di siat-siat. ’Subhanallah’, terluncur kalimah memuji keagungan dalam kecewa. Dia tidak menyangka, apa yang Allah hadirkan dalam hatinya sebelum ini adalah benar. Benar, ya benar, Saufi mempunyai ’seseorang’ lain. Bukan dia, tapi orang lain.
Perasaannya bercampur-baur. Sedih, kecewa, marah, benci. Semua bersatu.”Alhamdulillah, akhirnya ana temui jawapan keresahan ini. Maha Suci Allah yang mengaturkan. Ana hormati niat ikhlas enta. Ya, untuk tarbiyyah dan da’wah. Tiada apa yang dapat ana tuturkan lagi. Jawapan enta telah mematikan kata-kata ana. Enta telah memberikan titik noktah. Enta tidak memberi peluang kepada ana, berbincang dengan ana soal ini dan sama-sama membuat keputusan. Tetapi, yang enta berikan hanya titik, tidak boleh ditukar koma, enta memilih muslimat itu, bukan ana. Enta ceritakan kebenaran sebenar dengan hasil sebuah keputusan, bukan peluang. Kenapa ingin mengenali ana? Adakah hanya untuk perbandingan?,” hatinya sakit. Mudahnya bagi seorang Adam. Memilih pasangan, ibarat memilih baju untuk dipakai. Tiada lagi cita-cita bersatu sah dengan Saufi dalam kamus hidup Qistina. Beberapa bulan sahaja lagi, sebelum menamatkan pengajian, bukanlah menjadi penghalang untuk dia menyimpan hasrat itu. Kini, semua telah tiada. Itu keputusan Saufi. Fariz Saufi yang ingin mengenalinya untuk mencari pasangan hidup. Pengakhirannya, hakikat ini yang diterima Qistina. Tiada air mata mengalir, walau sedikit. Entah kenapa. Walau kecewa, air matanya mahal untuk mengalir kerana cinta lelaki. Sekadar perasaan remuk dan hancur dirasai. Dia pasrah, yakin setiap kejadian ada hikmahnya. Dia akan nampak hikmah itu nanti. Tiba-tiba hati kecilnya berbisik,’Dia tidak akan dapat bersama muslimat itu. Pasti ada halangan.’Qistina terkejut dengan bisikan hatinya.’Allah,Allah. Jauhkan aku dari prasangka,’ berbisik meminta.
**************** END PART TWO ****************
”Salam, Fiqa. Qis nak jumpa sekejap. Ada sesuatu hendak cerita. Jumpa di kafe ya.” Qistina menanti Shafiqah.”Antara kami sudah tiada apa hubungan lagi. Saufi ada muslimat lain,” perlahan Qistina menceritakan. Dari A hingga Z, rentetan peristiwa diceritakan kepada Shafiqah. Shafiqah nampak terkejut.
”Huh, sungguh tamak, seperti anjing mengejar bayang-bayang,” luah Shafiqa, agak emosi. Qistina sekadar membatu.”Pasti muslimat itu lawa. Saufi banyak kali tanya tentang Qis, lawa ke tak. Dia ’high-taste’ sangat.”
”Tak apa, lawa itu penting bagi Ustaz Fariz Saufi,” suara Qistina bergetar. Dia akur. Dia mula nampak hikmah kejadian. Ternyata Saufi lebih pentingkan rupa paras daripada perjuangan. Itu bagi Qistina. Bagi Qistina, perjuangan adalah utama. Memang dia turut memilih rupa, fitrah manusia sukakan kecantikan. Tetapi apabila kita mengenal islam dan perjuangan, paras rupa bukan lagi keutamaan jiwa.
Satu persatu hikmah peristiwa tersingkap. Qistina melafazkan rasa syukur, walaupun sayang dan cintanya masih berbekas. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang.
”Satu, soalan. Enta istikharah tak sebelum nak kenal ana?” ”Tidak.” Jawapan seorang ustaz takhasus quran hadith. Kecewa. Qistina cukup kecewa. Bukan kerana dia tidak menjadi pilihan. Tetapi, kecewa dengan tindakan seorang ustaz, tidak menitikberatkan dalam hal sebegini dengan petunjuk Allah. Qistina memberikan tazkirah panjang dengan jawapan ’tidak’ ustaz Saufi. Dia bukanlah orang yang layak menegur seorang ustaz. Sedangkan dia bukanlah seorang ustazah. Hidup penuh pilihan, banyak jalan yang perlu dipilih. Hati dalam genggaman Allah. Berbolak-balik dengan kekuasanNya. Setiap tindakan, mintalah petunjuknya. Kerana kata hati, kata aqal bukan selalunya benar membuat pilihan.
”Biasalah ustaz. Dia rasa dirinya sudah baik. Jadi, pasti ramai perempuan baik akan sukakan dia. Yang dapat semua baik-baik, pilih yang lawa lah pulak. Tapisan terakhir.”
”Ish, baiklah lelaki bukan ustaz. Sekurang-kurangnya sudah dapat yang baik itu, hargai betul-betul. Rupa kedua. Sebab tolak yang baik ini, rugi. Bukan semua yang baik datang pada dia.”Pandangan sahabat-sahabat berlegar di minda. Logik, memang logik pandangan mereka. Tetapi, bukan semua ustaz seperti itu. Apa yang dikesalkan, ada ustaz sebegitu. Apa guna ilmu tinggi, jika nafsu lebih menguasai iman. Huh, bak kata popular : ”lelaki semuanya sama”. Betulkah?
Shafiqa menemui Qistina. Kolam matanya bergenang. ”Harith tinggalkan Fiqa. Padahal kami sudah merancang untuk kahwin tahun depan. Masing-masing sudah berbincang dengan keluarga.” Qistina terpana.
”Ya Allah, Fiqa! Kenapa boleh jadi macam ini?””Fiqa tak tahu. Dia senyap. Menyepi diri. Akhirnya Fiqa tahu, dia nekad untuk putus.” Qistina sedaya memujuk dan memberi kata semangat. Ada yang lebih baik tersedia untuk Fiqa. Ya Allah, semudah ini kaum Adam bermain dengan perasaan kaum Hawa.
Masa terus berlalu. Dalam hembusan nafas, dalam kerdipan mata, peperiksaan semester akhir menghampiri. Kali ini, perasaan Qistina lebih bebas. Bebas dari soal perasaan dan cinta manusia. Pernah Saufi menelefonnya, ada persoalan Qistina soalkan. Kali pertama Qistina benarkan Saufi menelefonnya. Hatinya sudah kosong terhadap Saufi. Dia sedar, di sebalik suara Saufi, ada masalah menimpanya. Namun, tidak disoalkan Qistina. Qistina mengajar hatinya agar lebih tegas dengan perasaan. Biarlah dikatakan sombong, yang penting dia mahu menjaga hatinya daripada anasir-anasir cinta terlarang. Menjaga hubungannya dengan al Khaliq. Daripada Shafiqa, Qistina mengetahui yang muslimat itu telah meninggalkan Saufi. Memilih yang lain.
”Qis, Fiqa nak bagitau sesuatu. Qis jangan terkejut ya.””Kenapa Fiqa? Suspen sahaja bunyinya,” Qistina bergurau.”Qis tahukan Fiqa masih berhubung dengan akh Saufi?” Qistina mengangguk.
”Erm, akh Saufi luahkan perasaannya pada Fiqa. Dia kata dia suka Fiqa.”Buk, bagaikan sebiji batu besar menghempap jantung Qistina. Inikah sebenarnya diri Ustaz Fariz Saufi?”Fiqa terima?””Fiqa pun agak suka pada dia. Kami masih baru. Belum buat keputusan nekad, untuk serius atau tidak.”Qistina senyum, menunjukkan lagak gembira, meraikan perasaan Shafiqah. Sedangkan hatinya...
‘Ya Allah, bercabang-cabang kisah hidupku ini. PadaMu kuserah segala,’ hatinya berdoa. Hidup ibarat roda, berputar-putar. Akhirnya menemui titik pertemuan yang sama. Ke depan, belakang. Sekejap di atas, sekejap di bawah. Penemunya tetap sama. Inilah kehidupan. Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Begitulah analogi sebuah roda dengan hakikat kehidupan.
Sebuah perkenalan, sebuah perhubungan, sebuah konflik, satu mainan perasaan cinta, rindu dan sayang, buatkan Qistina berteleku panjang di tikar sejadah. Merenung semua peristiwa. Dia tersedar dengan kelalaian. Membina hubungan dengan sering berhubung, hanyalah mengundang ketidakrestuan al Khaliq. Dia membimbing hati agar tidak mudah jatuh cinta pada cinta manusia. Dia sedar, hatinya cepat tersentuh dan menerima ‘lamaran’ perkenalan seorang lelaki. Istighfar dipanjangkan bilangan bacaannya, hatinya sayu. Sayu dengan penuh kesyukuran. Disedarkan sebelum dia lebih lanjut terlena dengan buaian cinta, kata manis kaum Adam.
Kisah kehidupan dan perjuangannya masih jauh dan panjang, jika masih belum dijemput ajal. Tiada lagi, dambaan cinta lelaki di hati. Harapan diletakkan pada Saufi, itulah kesilapan. Soal hati, soal cinta adalah soal aqidah. Sejauh mana keyakinan dan pengharapan diletakkan kepada Pencipta hati-hati. Tetapi ramai yang tidak yakin, letakkan harapan pada manusia. Ikat sebuah hubungan dengan syarat sering bermesej, berbual dan bertemu. Inilah situasi menunjukkan longgarnya aqidah masa kini. Jadikanlah kisah cinta agung Saidina Ali r.a dan Fatimah sebagai pedoman, disatukan dengan keteguhan aqidah, keyakinan dengan kuasa Allah yang menyatukan.Malam itu, selesai solat sunat istikharah, meminta ditunjukkan dan dipandu di atas jalan yang lurus (siratalmustaqim) di dunia dan akhirat, Qistina bermimpi. Mimpinya didatangi seorang pemuda, ada sinar di wajahnya penuh ketenangan. Pemuda itu membelakanginya, berbaju melayu serba putih dengan serban dililitkan di kepala. Pemuda itu berpaling menghadapnya. Sekuntum senyuman indah disedekahkan, lafaz assalamualaikum diucapkan. Qistina menyalaminya dengan menjawab ’waalaikumussalam, suamiku.’
Mimpi hilang. Qistina terjaga. Lantas memutuskan ikatan syaitan dengan wudhu’. Malam masih panjang. Qistina bangkit untuk tunaikan solat tahajjud dan solat-solat sunat yang lain. Dia rindu, rindu amat untuk bermunajat di malam yang hening. Di ketika malaikat-malaikat bersama-sama dengan orang-orang yang sujud pada ketika insan lain lena dibuai mimpi. Sesungguhnya mati itu pasti, hidup ini InsyaAllah. Qistina berpegang pada falsafah keramat itu...PRINSIP HIDUP INI...
*************** END OF THE STORY ***************
Dari Suhaib al-Rumi, Nabi saw bersabda yang bermaksud : «Sungguh mengkagumkan urusan orang mukmin itu, setiap urusannya adalah baik, tidaklah perkara ini berlaku kepada seseorang pun melainkan orang mukmin, jika dia mendapat perkara gembira, dia bersyukur, itu adalah baik baginya, dan jika dia ditimpa musibah, dia bersabar, itu adalah baik baginya».
Tiadalah bagi lelaki yang beriman dan wanita yang beriman (hak) untuk memilih dalam urusan mereka apabila Allah dan RasulNya telah memutuskan urusan itu. Barangsiapa menderhakai Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata» [al-Ahzab : 36].
Wanita ibarat seperti epal.. Epal yang tidak berkualiti amat senang untuk deperolehi kerana ia berguguran di tanah. Tetapi epal yang tidak mampu dibeli berada di puncak susah untuk digapai. Terkadang epal itu risau, kenapa diriku belum dipetik? Lantas ia merendahkan martabatnya dan menggugurkan diri menyembah tanah. Sedangkan sebenarnya telah Allah jadikan ia begitu tinggi martabatnya hingga tiada sesiapa yang berani memetiknya. Hanya pemuda yang benar-benar hebat sahaja yang mampu memilikinya. Mungkin bukan di Dunia tetapi di Akhirat.. Biarlah jodoh bukan di Dunia, asalkan cinta di Akhirat.
No comments:
Post a Comment