Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
"Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Tuhan yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih. Tuhan yang menguasai hari pembalasan. Kepada-Mu kami menyembah dan kepada-Mu sahajalah kami memohon pertolongan. Tunjukkanlah kami kejalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat, bukan jalan orang-orang Engkau murkai, dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat."
Sahabat yang dimuliakan
,Persaksikan bahawa tidak ada pengatur kecuali Allah dan bersyahadahlah bahawa Nabi Muhammad itu sebagai hamba dan utusan Allah. Fokuskan hati kita kepada memuja dan mentaati Allah serta mengikut contoh kehidupan ar-Rasul, Muhammad s.a.w.
Peliharalah diri kita dari terikut rentak dan ragam manusia yang dimurkai Allah. Sedarilah tekanan kehidupan hari ini terlalu banyak. Semua gejala tamadun baru yang direka menurut keinginan nafsu hanya bertujuan menyesatkan dan meruntuhkan nilai norma yang tinggi. Sekaligus menghancurkan sendi-sendi budi dan akhlak yang mulia yang mengembangkan sifat kejahilan di kalangan umat.
Sahabat yang diredhai Allah,
Janganlah merasai jemu untuk menerima tarbiyah Islam kerana sesungguhnya tabiat tarbiyyah itu dinyatakan berulang-ulang. Untuk menghidupkan balik hati yang keras dan mati, untuk menaikkan semula iman yang telah turun dan untuk memulihkan balik akhlak yang telah rosak, bukanlah satu perkara yang mudah. Nabi s.a.w. sendiri mendidik dan mentarbiyyah sahabat-sahabat baginda di Makkah mengambil masa 13 tahun. Proses ini berterusan di Madinah dan memakan masa 10 tahun pula.
Didalam al-Qur'an sendiri Allah sentiasa mengulang-ulangkan asas iman, tauhid dan perkara-perkara ghaib dan kehidupan di hari Akhirat. Selagi hayat dikandung badan dan masih bernafas di bumi Allah proses tarbiyyah imaniah dan takwa perlu berterusan dan berjalan tanpa berhenti.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Al-Ustaz Fathi Yakan dalam menghuraikan tatacara memelihara diri dari dorongan nafsu serta bisikan syaitan telah menyarankan 10 dasar muhasabah harian. Yakinilah dasar ini akan dapat memelihara jiwa kita untuk terdorong memusatkan pemujaan dan ketaatan kepada Allah. Juga memperteguhkan iman diatas jalan yang diredhai.
Pertama : Qiyamulail merupakan pendidikan rohani yang tidak patut diabaikan. Ia boleh melahirkan kekuatan iman yang tidak dapat dihasilkan oleh ibadat-ibadat yang lain.
Kedua : Sedapatnya solat Subuh berjemaah kerana akan beroleh jaminan perlindungan dari Allah, seperti maksud hadis :
"Siapa yang solat Subuh berjemaah maka ia berada dalam jemaah Allah. Allah tidak sekali-kali meminta sesuatu dari kamu kerana jaminan-Nya." (Hadis Riwayat Muslim) .
Ketahuilah malaikat menjaga kita dan mereka datang berhimpun serta bergilir masa kerja pada waktu Subuh dan Asar.
Ketiga : Al-Qur'an itu sebagai penawar dan kita sangat berhajat rawatan hati dari ayat-ayatnya. Dengannya, hati akan tenang, tenteram dan dapat merasai suasana hening. Berwirid dengan al-Qur'an sewajarnya diamalkan sehingga berlinangan air mata.
Keempat : Setiap kali menghadap hidangan makanan telitilah sumber ia diperolehi. Pastikan rezeki yang diperolehi itu adalah halal dan suci serta sedaya upaya menjauhkan diri dari berbuat yang haram. Disamping itu, kita patut menyedari tujuan utama makan adalah untuk menambah kekuatan beribadah kepada Allah, dan bukannya melakukan kerosakan. Utamakan makanan yang diproses dan di sediakan oleh orang Islam sendiri.
Kelima : Bersihkan diri dari sifat malas. Islam tidak menyukai hamba Allah yang tidak berusaha atau menganggur. Sepatutnya setiap Muslim perlu bersungguh dalam melaksanakan apa jua tugas dan pekerjaan. Di samping itu, tidak lupa untuk membersihkan rezeki dengan mengeluarkan zakat, insaf dan sedekah. Usaha yang gigih serta rezeki yang bersih akan membawa kebahagiaan hakiki.
Keenam : Dalam setiap waktumu berada dikhalayak, sentiasalah menjaga dan mengawal pandangan mata serta perasaan. Jauhkan diri daripada tergoda atau digoda. Malahan, tidak juga terdorong kepada perkara-perkara syubhah atau yang tidak jelas halal atau haramnya.
Ketujuh : Perhatikan setiap tingkah laku kita dikuasai dengan akhlak Islam. Sebaik-baiknya, jadilah Muslim contoh yang akan membawa kebaikan kepada manusia lain. Sesungguhnya,kita akan beroleh pahala seperti orang yang mendapat hidayah kerana kebaikan yang telah dilaksanakan.
Kelapan : Tanyakan diri kita sendiri adakah setiap saat dan sepanjang hayat kita dipergunakan untuk menuntut serta menambah ilmu khasnya ilmu Islam itu sendiri.
Perhatikan maksud hadis berikut :
"Pelajarilah ilmu! Dalam mempelajarinya kerana Allah akan menambah takwa; menuntutnya ibadah, muzakarah menjadi tasbih, membahas menjadi jihad dan mengajarkannya menjadi sedekah. Mewariskannya kepada ahli keluarga menjadi ibadah qurban. Ilmu itu menunjukkan perbezaan halal dan haram. Juga menjadi lampu isyarat dijalanan ahli Syurga. Ilmu menjadi teman keseorangan, menjadi sahabat kepada perantau, dan menjadi penghibur dalam suka dan duka. Juga menjadi senjata berhadapan dengan musuh, dan perhiasan dalam persahabatan. Dengan ilmu juga Allah mengangkat darjat Muslim untuk memimpin setiap insan." (Hadis Riwayat Ibnu Adil Barri)
Kesembilan : Sejauh mana telah kita bulatkan hati untuk sentiasa melaksanakan tuntutan syarak serta sentiasa berada dalam tanggungjawab mengutamakan kehidupan Islam atas kepentingan-kepentingan lain.
Kesepuluh : Usah dilupakan hak jasad. Kesihatan dan kekuatan fizikal wajib dipelihara. Ingatlah! Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari Mukmin yang lemah. Hindari diri dari kerja yang meletihkan dan merosakkan ketangkasan badan. Oleh itu bersederhanalah dalam bekerja dan makan-minum.
Sahabat yang dihormati,
Jadikanlah 10 perkara diatas sebagai KPI untuk muhasabah diri yang mesti berjalan setiap masa dan saat selagi denyutan nadi kita berfungsi bukan hanya berjalan dalam waktu tertentu sahaja.
Ingatlah! Kita semua harapan Islam untuk membawa risalah yang mulia ini dan untuk memakmurkan alam dan membawa kebahagiaan dalam kehidupan insan. Berhati-hatilah dalam menghadapi cabaran baru yang mendatang!
Kredit for Akhi Basyer
Tiada rasa dendam kerna aku tidak mahu membalas apa-apa atas semua tindakan mereka itu sepanjang usia remaja aku. Aku tanggung sakit, pedih, malu, derita, sengasara sendiri. Umpat keji, pandangan sinis, umpatan dan segala yang buruk lumrah catatan kehidupan, aku telan dengan rasa yang sangat perit.Hari ini aku tetap aku yang dulu, aku bukan siapa-siapa, aku tak perlu perhatian mereka yang telah menjatuhkan aku, mengkeji aku, meruntuhkan maruah aku, menginjak-nginjak nilai keluarga. Aku bukan sombong namun ingin ku nyatakan, aku berjaya hari ini bukan kerna kamu!!! Aku berjaya kerana apa ingin dan mahunya aku dan yang pasti kerna DIA, itu aku tidak lupa.
Aku punya masa silam sarat dengan tragedi... .. masa persekolahan yang tak pernah indah dan tidak mahu aku berpatah balik.Di sana, aku hanya belajar untuk membenci diri, merasa lemahnya diri, belajar bahawa aku memang dilahirkan 'jahat', mengetahui bahawa segala yang buruk itu adalah aku.Aku punca segala 'hal' yang tidak baik.
Wajah ini tabah ketika itu namun hati ini dipiyat-piyat rasa sendu, tidak sekali menitik mutiara jernih kerana aku EGO. Biar mereka melihat aku dengan segala pandang yang mereka mahu namun hati ini biar aku pegang sendiri. Aku tidak mahu menagih simpati... aku bisa cekal tanpa meluahkan pada siapa-siapa, cuma catatan harian peneman setia.
Namun...... ada hari taufan melanda. Aku dipisahkan secara keras dan kasar dengan peneman setiaku. Aku tidak salah dan peneman setia aku juga tidak salah namun aku terus disalahkan atas apa yang tidak aku salahi. Aku terusan dikecam hebat....Segala cerita ku dicungkil dari peneman setiaku lantas dicanang merata. Aku menangis di hati yang paling dalam. Tiada siapa yang tahu. Apa salahku tanya pada diri. Rasa tabah aku terus dirobek..
Saat itu hati memberontak mahu mati kerna mungkin itu terbaik mereka semua. Aku lelah dipersalahkan dalam segala macam hal.Aku penat berlakon aku sangat kuat dihadapan mereka semua. Aku bosan berlagak normal dengan dengan mereka-mereka dan keluargaku.
Akhirnya aku selesa hidup sendiri tanpa teman di sisi kerana aku tidak mahu mereka dilabel sebagaimana diriku. Aku tidak mahu terus dipersalahkan bahawa aku punca segalanya.Aku tidak mahu mereka sakit dengan segala rasaku.Ku tanggung semuanya sendiri.
Dan dalam tempoh yang agak panjang, aku terus di situ dan aku tidak mengerti apa yang aku carik. Ku tidak mencari apa-apa, hanya sekadar menjadi anak yang patuh pada kedua ibubapa yang memerlukan aku korbankan perasaan dengan terus di situ. Aku tahan perasaan ini kerana tidak mahu merobek hati mereka sebagaimana hati aku. Demi mereka aku terus di situ.
Pengalaman hidupku tak seindah biasa... penuh liku berduri dan kaca yang terlalu sakit untuk aku lalui. Jelasnya hingga sekarang, rasa sakit itu masih wujud, parut sangat jelas.Kaki aku tidak cukup kuat untuk terus melangkah skali lagi dijalan itu.
Aku tidak pedulik tentang apa rasa diri namun ku letakkan teratas rasa ibubapa ku. Masakan aku lupa esakan tangis ibuku atas segala yang tidak aku lakukan, atas segala tuduhan yang menyalahkan didikan ibubapa ku.Aku marah dan sakit sekali dengan mereka yang menjadikan ibuku berlagu sendu sedangkan mereka tidak tahu apa-apa.Pertama kali aku mengeluarkan mutiara jernih setelah bertahun lama ku simpan ras namun ia sendiri, pada belukar dan hutan di belakang ku laungkan rasa patah hati. Aku menangis dalam hujan... kerna tiada siapa bisa melihat titis jernih itu. Hujan mengasyikkan tangisan aku dalam jaga kerna aku juga hanya menangis dalam lena.
Banyak lagi rasa yang ku perolehi dari persekolahan ilmu itu. Aku malu dengan diri kerana merasa aku 'teruk' dan 'jahat'. Aku berlalu pergi dari situ dengan rasa kosong, dengan kenangan silam yang mencengkam diri dan nyata ia tidak tamat di situ.Ia menghantui aku dan salah seorang dari mereka itu terus ingin menjatuhkan aku. Sebab yang sendiri aku tidak tahu.... mengejar aku sehingga aku tamat SPM, memasuki sementara alam guru dll.. kamo kenapa?? Sedangkan kamu hafizah dan pelajar UIA.Jadi mana warasmu??
Aku bukan ingin membuka aib siapa jua namun aku sudah tak tertahan menanggung rasa ini.Tidak ku nyatakan nama siapa-siapa di sini jadi ku rasa tidak apa-apa. Tapi sekiranya kamo masih juga mengambil tahu kisah hidupku dan membaca blog aku sila sedari!!!! Jangan lagik dekati aku malah aku sendiri pasti dan kerapkali mengelakkan diri bila bersua temu dengan kamo. Cukup sekali tidak ada kedua tiga kalinya untuk 'mereka-mereka' hancurkan perjalanan hidupku. Cukup sampai di sini.
Aku bukan pendendam, juga bukan pemaaf terungul, aku hanya gadis yang punya rasa, punya hak untuk menyimpan kenangan itu walau telah cuba ku usir pergi.Aku gadis yang satu ketika dulu yang comot, gemuk, tidak bijak dalam apa-apa melainkan 'out-spoken', yang penuh dengan tempelan yang negatif, model yang wajib dijauhi pelajar lain... teruk sangatkah aku?? apa salah besar yang aku lakukan?? Itu dulu... dan kini, aku masih gadis itu cuma aku tidak mahu terus terbelenggu oleh rasa perit yang lalu. Segalanya ku tinggal pergi.CUKUP menahan rasa yang tak berbayar..